Monday, 10 June 2019

Ketidakstabilan Keadaan Politik Negeri Perak

Perang Larut di Perak


  Hasrat British menguasai bekalan timah dari negeri-negeri Melayu diganggu oleh perbalahan dan kekacauan melibatkan pembesar-pembesar negeri dan juga serangan lanun di Selat Melaka. Sebelum tahun 1861, pembekalan timah daripada daerah Larut berjalan baik. Walaupun Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim mengenakan cukai ke atas hasil timah, pulangan lumayan yang diperolehi oleh British menidakkan sedikit kesusahan disebabkan oleh kenaan cukai tersebut.
  Dalam tahun 1861, bekalan timah daripada Larut terganggu disebabkan oleh tercetusnya Perang Larut yang pertama, yang berpunca daripada pergaduhan mengenai laluan air ke kawasan perlombongan. Sumber air penting untuk proses perlombongan bijih timah kerana kaedah perlombongan palong digunakan. Kerana tidak puas hati, kumpulan Ghee Hin di Klian Baru diserang oleh kumpulan Hai San di Klian Pauh.
  Gangguan bekalan timah menyebabkan pedagang Cina di Pulau Pinang, yang membuat pelaburan besar di dalam industri perlombongan bijih membuat aduan kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat supaya mengambil tindakan memulihkan keadaan. Disebabkan tekanan daripada peniaga-peniaga di Pulau Pinang, Gabenor Negeri-Negeri Selat Kolonel Cavenagh masuk campur dan akhirnya memaksa Ngah Ibrahim bertindak menenangkan keadaan. Ngah Ibrahim, bagi pihak Sultan Perak, dipaksa membayar $17,447 sebagai ganti rugi kepada kumpulan Ghee Hin.
  Keadaan menjadi tegang dan berkemungkinan mencetuskan perbalahan besar. Selang 4 tahun kemudian, Perang Larut kedua meletus berpunca daripada pergaduhan semasa permainan judi melibatkan kumpulan ahli-ahli kongsi gelap. Kumpulan Hai San menawan 14 orang ahli Kumpulan Ghee Hin sebagai tebusan, dan akhirnya membunuh 13 orang daripada mereka. Tebusan terakhir berjaya melepaskan diri dan memberitahu kejadian kepada kumpulannya. Kumpulan Ghee Hin membalas dendam dan menyerang perkampungan Hai San, dan membakar bangunan di dalam kampung itu dan membunuh 40 orang penduduk.
  Sekali lagi, bekalan bijih terganggu. Perbalahan merebak sehingga ke Seberang Perai dan Pulau Pinang, dan kumpulan kongsi gelap selain Kumpulan Ghee Hin dan Kumpulan Hai San turut terlibat. Siasatan yang dijalankan pentadbir British mendapati kedua-dua Kumpulan Ghee Hindan Kumpulan Hai San bersalah kerana mengganggu keamanan Pulau Pinang dan masing-masing dikenakan denda $5,000 dan beberapa pemimpin mereka di buang negeri. Buat seketika, bekalan timah diteruskan. Tetapi pihak British mulai risau mengenai perbalahan-perbalahan yang mengganggu bekalan timah mereka.
  Kerisauan British membuat Ngah Ibrahim mengambil tindakan proaktif dengan mengambil Tristam Speedy sebagai Setiausaha (Pentadbir) di Larut, khususnya untuk memodenkan sistem pentadbiran di Larut dan meningkatkan keselamatan dan keamanan. Untuk tujuan ini, Kapten Tristam Speedy membawa 110 orang askar Sepoi Sikh dari Punjab ke Perak untuk menggantikan 40 orang Polis Melayu di bawah pengajian Ngah Ibrahim. Tetapi, usaha Ngah Ibrahim menjadi sia-sia apabila Perang Larut Ketiga meletus dalam tahun 1872, kali ini berpunca daripada tertangkapnya seorang ketua kumpulan Ghee Sin di pangkuan isteri anak saudara pemimpin Hai San.
  Perang Larut Ketiga tahun 1872 memberi kesan buruk kerana melibatkan pembesar Melayu negeri Perak yang berpihak kepada kumpulan yang berbalah. Ngah Ibrahim menyokong kumpulan Hai San sementara Raja Abdullah menyokong kumpulan Ghee Hin. Pada satu ketika, kumpulan Hai San terpaksa berundur daripada Klian Pauh, tetapi dapat menduduki semula Klian Pauh setelah mendapatkan bantuan Ngah Ibrahim.

Perebutan Kuasa Di Kalangan Pembesar Melayu

  Kemangkatan Sultan Ali dalam tahun 1871 diikuti dengan perebutan kuasa di kalangan pembesar Melayu, iaitu Raja IsmailRaja Yusof dan Raja AbdullahRaja Abdullah tidak menghadiri majlis pengkebumian Al-marhum Sultan Ali dan menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Perak. Akibatnya, segolongan besar pembesar negri bersama-sama Menteri Larut menabalkan Raja Ismail sebagai Sultan. Pembesar negeri di selatan Perak memberikan sokongan kepada Raja Ismail dan menabalkannya sebagai Sultan.
  Pertabalan ini ditentang oleh Raja Abdullah, tetapi Raja Abdullah tidak mempunyai tapak untuk berkuasa. Untuk mendapatkan sokongan dan pengaruh, Raja Abdullah memberikan sokongan kepada kumpulan Ghee Hin dengan harapan sekiranya mereka menang dalam perbalahan mereka dengan kumpulan Hai San, kedudukan Ngah Ibrahim akan terhakis dan kedudukan Raja Abdullah sendiri akan teguh, membolehkan ia mencabar pertabalan Sultan Ismail sebagai Sultan Perak.
  Raja Abdullah juga cuba mendapatkan sokongan daripada pedagang British bernama W.H.M. Read yang menjadi rakan perniagaannya. Kepada Read, Raja Abdullah menyatakan kesediaannya untuk menerima penasihat British sekiranya beliau ditabalkan sebagai Sultan Perak. Tetapi gabenor Negeri-Negeri Selat tidak bertindak kerana hendak memberikan peluang kepada Ngah Ibrahim untuk menyelesaikan masalah Perang Larut tanpa dibantu pihak British. (Sir Harry Ord bersahabat dengan Ngah Ibrahim). Akhirnya, askar Sepoi di bawah pimpinan Kapten Tristam Speedy berjaya membantu Ngah Ibrahim mengembalikan penguasaan pihak Hai San ke atas Klian Pauh. Dengan kekalahan itu, kumpulan Ghee Hin tidak berupaya membantu Raja Abdullah dalam usahanya menabalkan diri sebagai Sultan.

Perang Larut Keempat

  Perang Larut Keempat meletus dalam tahun 1873, kurang setahun selepas berakhirnya Perang Larut Ketiga. Selepas Kumpulan Hai San dengan bantuan Ngah Ibrahim menguasai semula kawasan lombong di Klian Pauh, Kumpulan Ghee Hin yang disokong oleh Raja Abdullah menyerang balas dengan pejuang dan senjata yang dibawa dari Singapura dan China.
  Harta benda milik Ngah Ibrahim juga turut dimusnahkan dan penduduk Melayu dibunuh dan harta benda mereka dimusnahkan. Kekacauan merebak ke daerah KrianPulau Pangkor dan Dinding. Pembesar Melayu yang sebelum itu menyebelahi kumpulan Cina yang berbalah terperanjat melihat huru hara akibat perbalahan antara dua Kumpulan Cina tersebut. Kemusnahan yang dibawa oleh 40,000 orang Cina yang berbalah membawa padah besar kepada negeri Perak.
 Peniaga di Pulau Pinang sekali lagi melihat pelaburan mereka hancur lebur akibat perbalahan dan sekali lagi meminta Gabenor Negeri-Negeri Selat mengambil tindakan memulihkan keamanan di Perak agar perniagaan mereka tidak kerugian
  Pada 30 Disember 1873Raja Abdullah mengutuskan sepucuk surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat meminta bantuan British untuk menghantar "seorang yang cukup berwibawa untuk membolehkan kewujudan satu sistem kerajaan yang baik di Negeri Perak". William Pickeringdihantar ke Larut untuk merundingkan keamanan dengan kaum Cina yang berbalah dan untuk menerima penyelesaian dan timbang tara British. Sementara itu Frank Swettenham (yang fasih berbahasa Melayu dan boleh menulis Jawi) dihantar untuk memujuk pembesar-pembesar Melayu menghadiri perjumpaan di Pulau Pangkor.

Perjanjian Pangkor 1874

  Surat daripada Raja Abdullah meminta bantuan British untuk membolehkan dia dilantik menjadi Sultan Perak digunakan sebagai pemunca oleh Sir Andrew Clarke untuk mencampuri hal ehwal negeri-negeri Melayu. Dia menghantar William Pickering, seorang pegawai tinggi yang dilantik menjadi Pelindung orang-orang China (Protector) di Singapura untuk memujuk pihak-pihak yang bertelagah dalam Perang Larut untuk menerima timbang tara BritishFrank Swettenham pula dihantar untuk memujuk pembesar-pembesar Melayu untuk hadir di meja Perundingan untuk mencari penyelesaian perebutan kuasa di Perak.
  Perjanjian Pangkor ditandatangan pada 20 Januari 1874 di atas sebuah kapal berkuasa wap yang dahulunya HMS Pluto tetapi kini dikenali sebagai Kapal Kolonial Pluto (Colonial Steamer Pluto). Pada hari berkenaan, pihak British memeterai dua perjanjian
a) Perjanjian Pangkor di antara pihak British dengan pembesar-pembesar Melayu b) Persetujuan Cina (Chinese Engagement) di antara pihak British dan 26 orang pemimpin kumpulan Ghee Hin, Kumpulan Hai San dan lain-lain kumpulan Cina yang terlibat dalam Perang Larut.

Persetujuan Cina

• 26 orang pemimpin-pemimpin Cina yang mewakili kumpulan Ghee Hin, Kumpulan Hai San dan kumpulan-kumpulan lain yang terlibat dengan Perang Larut bersetuju menerima timbang tara British. • Kumpulan terlibat juga bersetuju untuk melucutkan senjata yang sebelumnya dipasang di kapal-kapal mereka, memusnahkan kubu-kubu pertahanan mereka, bertukar-tukar tawanan perang dan bersetuju untuk tidak melanggar persetujuan berdamai. • Kumpulan-kumpulan terlibat bersetuju menandatangani satu surat persetujuan untuk berhenti berbalah. • Mana-mana pihak yang melanggar persetujuan berdamai akan dikenakan denda $50,000.
  Persetujuan Cina ini membolehkan British menubuhkan satu jawatankuasa timbang tara untuk menyelesaikan masalah kawasan perlombongan yang bertindih di antara kumpulan Ghee Hin dan Hai San. Kedamaian yang dicapai membolehkan kaum Cina kembali kepada aktiviti perlombongan dengan tujuan mengaut keuntungan. Klian Pauh diserahkan kepada kumpulan Hai San, dan kemudiannya ditukarkan nama menjadi Taiping. Kumpulan Ghee Hin mendapat kawasan Klian baru dan kemudiannya dikenali sebagai Kamunting. Persetujuan ini berjaya menamatkan perbalahan yang membawa kepada gangguan bekalan timah. Walaupun aktiviti (dan persaingan) kongsi gelap berterusan, mereka tidak lagi bertelagah secara terbuka.

Perjanjian Pangkor

Perjanjian Pangkor ditandatangan oleh Pihak British dengan Sultan Abdullah, Sultan Perak.
  • Perjanjian Larut memberikan pengiktirafan kepada Raja Abdullah sebagai Sultan Perak, bagi menggantikan Sultan Ismail.
  • Sultan Ismail yang dilucutkan gelaran Sultan diberikan gelaran Sultan Muda dan diberikan pencen bulanan $1,000 dan diberikan satu kawasan jajahan baginya.
  • Ngah Ibrahim kekal menjadi Orang Kaya Menteri Paduka Tuan dan berkuasa ke atas Jajahan Larut, tetapi kuasanya disekat dan tidak bebas seperti sebelumnya. Pihak British akan melantik Penolong Residen untuk membantu beliau mentadbir jajahan Larut.
  • Pihak British akan melantik seorang Residen untuk menasihati Sultan dalam semua aspek pentadbiran negeri kecuali perihal agama Islam dan adat resam Melayu. Bayaran gaji Residen akan dibiayai oleh Sultan Perak, dan nasihat Residen mesti diperolehi dan diikuti oleh Sultan dalam semua perkara pentadbiran negeri kecuali perihal agama Islam dan adat resam Melayu. Sultan akan menyediakan sebuah tempat tinggal kepada Residen.
  • Kutipan Cukai tidak lagi boleh dibuat oleh pembesar-pembesar Melayu tempatan. Residen British akan bertanggungjawab untuk mengutip dan mengawal semua kutipan cukai dan perbelanjaan wang cukai - that the collection and control of all resources and the general administration of the state should be regulated under the advice of the Resident. (W. G. Maxwell and W. S. Gibson, Treaties and Engagement Affecting the Malay States and Borneo (London, 1924)
  • Oleh kerana pembesar-pembesar Melayu tidak lagi boleh membuat kutipan cukai, mereka akan diberikan pencen bulanan oleh kerajaan negeri.
  • Wilayah Dinding diserahkan kepada pentadbiran oleh pihak British dan menjadi wilayah takluk Negeri-negeri Selat. Dinding diambil alih oleh pihak British kerana mahu menyelesaikan masalah lanun yang mengambil perlindungan di dalam hutan bakau dan gua-gua di sekitar kawasan Dinding.

Kesan Perjanjian Pangkor


  Pembesar-pembesar Melayu sebenarnya terperangkap dengan Perjanjian Pangkor. Mereka tidak dapat melihat kesan yang akan mengikuti terma yang dituntut oleh pihak British ke atas Sultan Perak (dan ke atas pembesar-pembesar Melayu). Sultan Perak dan pembesar-pembesar Melayu tidak memahami bahawa perjanjian ini akan meluputkan kuasa Sultan dan pembesar-pembesar Melayu. Sultan Abdullah salah faham mengenai terma utama Perjanjian Pangkor mengenai perlantikan seorang Residen. Sultan Abdullah memikirkan bahawa Residen British hanya berkuasa memberikan nasihat kepada Sultan dan bahawa boleh Sultan mengetepikan nasihat yang diberikan oleh Residen. Punca salah faham adalah dalam penterjemahan Artikel VI Perjanjian di antara versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
Article VI (Bahasa Inggeris)
That the Sultan receive and provide a suitable residence for a British Officer to be called Resident, who shall be accredited to his Court and whose advice must be asked and acted upon on all questions other than those touching Malay Religion and Custom.
Artikel VI (mengikut fahaman Sultan Abdullah)
Sultan akan menerima dan menyediakan satu tempat tinggal yang bersesuaian untuk seorang Pegawai … yang diberikan gelaran Residen British. Sultan Perak diperlukan merujuk kepada beliau di dalam semua perkara dan pentadbiran negeri Perak dan dia (Residen British) tidak boleh masuk campur dalam hal-hal berkaitan agama Islam dan adat Melayu.
  Walaupun pada asalnya Sultan Abdullah berfahaman bahawa Residen British hanya berkuasa memberikan nasihat sahaja kepada Sultan, tanggapan itu nyata salah apabila Residen British menjadi pentadbir sebentar negeri Perak. (Khong Kim Hoong, Merdeka! British Rule and the Struggle for Independence in Malaya 1945-1957, SIRD, 1984)
  Sultan Ismail tidak menerima syarat-syarat Perjanjian Pangkor, khususnya perlantikan beliau sebagai Sultan Muda dengan berikan pencen dan kawasan kecil sebagai jajahan warisan keluarganya. Perjanjian ini juga mengikiskan kuasa autonomi yang diberikan kepada Ngah Ibrahim sebagai Menteri Larut dengan perlantikan Kapten Tristam Speedy sebagai Penolong Residen khusus untuk Larut.
  Sir Andrew Clarke dilihat sebagai melebihi mandat kuasa yang diberikan kepadanya. Sir Peter Benson Maxwell mengkritik tindakan British dalam tulisannya Our Malayan Conquest. Sir Andrew mempertahankan tindakannya dengan alasan Ia perlu dilakukan untuk menjamin keamanan di Tanah Melayu dan menjaga kepentingan British. Sir Andrew juga mendapat sokongan padu daripada kerajaan British di London dan juga daripada kumpulan pedagang-pedagang di Negeri-Negeri Selat.

Kepentingan Perjanjian Pangkor


  Perjanjian Pangkor membuka jalan untuk campur tangan British di Tanah Melayu dengan menggunakan Sistem Residen bagi membolehkan pemerintahan British. Sistem Residen memberikan gambaran bahawa pembesar-pembesar Melayu masih memegang kuasa pemerintahan, pada hal kuasa pemerintahan sebenarnya berpindah kepada Residen.
  Sistem Residen sebenarnya adalah sistem pemerintahan secara tidak langsung yang membolehkan British bertapak di Negeri-Negeri Tanah Melayu. Walaupun Sultan masih menjadi ketua negeri, dia tidak lagi menjadi ketua kerajaan. Kini kuasanya dihadkan kepada perkara-perkara berkaitan agama dan adat resam Melayu sahaja. Sultan wajib menerima nasihat di dalam semua perkara pentadbiran dan pengurusan kerajaan, dan dengan itu nasihat yang diberikan sebenarnya adalah arahan yang perlu dipatuhi oleh Sultan berkenaan.
  Sistem Residen yang dilaksanakan adalah halus tetapi berkesan. Ia digunakan sebagai model untuk membolehkan campur tangan British di negeri-negeri Melayu terutamanya di SelangorNegri Sembilan dan Pahang.

No comments:

Post a Comment